Hari Yang Diharamkan Puasa

 

Hari Yang Diharamkan Berpuasa 

Puasa ialah satu ibadah yang amat digalakkan untuk dilakukan di dalam Islam. Puasa membawa banyak kesan positif kepada jasmani, rohani, dan hubungan sesama Yang Maha Pencipta dan juga sesama hamba. Puasa ada yang hukumnya wajib seperti puasa di bulan Ramadhan yang merupakan rukun Islam yang ke 3. Ada juga ibadah puasa yang hukumnya sunat iaitu seperti puasa hari Isnin dan khamis, puasa di hari Arafah dan lain-lain lagi. Namun bukan setiap hari kita boleh berpuasa. Ada hari-hari yang Islam haramkan kita untuk melakukan ibadah puasa padanya. Kali ini kita nak bincangkan secara ringkas tentang perkara tersebut iaitu hari yang diharamkan puasa.

hari-yang-diharamkan-puasa



Berikut adalah hari-hari yang diharamkan kita untuk berpuasa: 

1. Hari Syak

Hari Syak jatuh pada hari ke 30 bulan Syaaban yang mana pada ketika itu adalah haram puasa bagi setiap umat Islam.

Ini adalah kerana, pada hari tersebut anak bulan masih tidak kelihatan. Maka ia masih diragui samada ia merupakan hari terakhir bulan Syaaban atau sudah masuk hari pertama bulan Ramadhan.

2. Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Dari Abu Hurairah RA, katanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ يَوْمِ الْأَضْحَى وَيَوْمِ الْفِطْرِ

“Rasulullah SAW melarang puasa dua hari kebesaran iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan pada hari Aidilfitri (1 Syawal).” – (Hadis Riwayat Muslim)

Para ulama telah bersepakat bahawa larangan atau haram puasa pada dua hari kebesaran dalam Islam dengan alasan apa pun sama ada berpuasa kerana nazar, puasa sunat dan kafarrah.

3. Hari-hari tasyrik

Haram hukumnya bagi ummat Islam berpuasa pada Hari Tasyrik. Hari tersebut jatuh pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah mengikut Kalender Hijrah yang merupakan tiga hari selepas Hari Raya Aidiladha.

Larangan berpuasa pada Hari Tasyrik disampaikan Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Sahih Muslim:

“Hari-hari Tasyrik adalah hari makan dan minum.” – (Hadis Riwayat Muslim, no 1141)

4. Puasa sunat seorang isteri tanpa izin suaminya

Seorang isteri wajib hukumnya meminta izin suaminya terlebih dahulu apabila hendak melakukan puasa ganti atau puasa sunat sekiranya suami berada di rumah.

Hal ini kerana isteri wajib bagi memenuhi hak bagi suaminya. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami di dalam kitabnya:

وَيَحْرُمُ عَلَى الزَّوْجَةِ أَنْ تَصُومَ تَطَوُّعًا أَوْ قَضَاءً مُوَسَّعًا وَزَوْجُهَا حَاضِرٌ إلَّا بِإِذْنِهِ أَوْ عَلِمَ رِضَاهُ

MaksudnyaDan diharamkan ke atas seorang isteri untuk berpuasa sunat atau puasa qadha’ sekiranya tempoh menggantikannya masih berpanjangan dan suaminya datang kepadanya melainkan dengan keizinan suaminya atau dia mengetahui suami meredhainya berpuasa.” – (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/461)

Begitulah indahnya agama Islam ini. Larangan ini bukan semata-mata larangan kosong. Ia penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan di sebaliknya. Semoga dengan kesedaran ini, iman kita akan bertambah dari semasa ke semasa.

Baca juga: Niat Puasa Ganti

Post a Comment

Previous Next

نموذج الاتصال