Permudahkan dan Jangan Menyukarkan
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلَا تُنَفِّرُوا
Daripada Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: permudahkanlah dan jangan menyusahkan, berilah berita gembira dan jangan membuat orang lari (menjauh). (HR Bukhari No: 67) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Manusia cenderung kepada perkara yang mudah jika dilakukan serta mengembirakan ketika melaksanakan.
2. Dalam kita mendidik, gunakanlah hikmah dan kebijaksanaan yang boleh menyebabkan orang lain gembira dan suka melakukannya.
3. Lemah lembut dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran), agar dapat diterima dengan baik oleh orang lain.
4. Gunakanlah metod yang pelbagai dan menarik serta bertahap dalam mengajarkan ilmu, kerana segala sesuatu yang dimulakan dengan yang mudah, ia akan dapat memikat hati dan menambah rasa cinta terhadap ilmu yang akan dipelajari.
5. Janganlah kita menjadi penyebab orang lain jauh dari kebaikan yang ingin diajar. Islam itu mudah dan tidak menyukarkan penganutnya untuk beramal. Ada rukhsah yang diberi seperti untuk orang bermusafir dibolehkan berbuka puasa, solat secara jamak dan qasar dan lain-lain.
Marilah kita permudahkan menyampaikan ilmu mengikut garis panduan syarak. Elakkan sesuatu yang menyukarkan sehingga menjadi penyebab orang menjauhkan diri untuk beramal.
WallahuA'lam